Malaysia jinakkan Juara Bertahan untuk ke 16 akhir

JAKARTA 17 Ogos – Skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) berjaya mengesahkan slot ke saingan kalah mati selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 ketika aksi Kumpulan E Sukan Asia 2018, sebentar tadi.

Kemenangan kedua skuad B-23 negara itu telah menjamin tempat Malaysia dalam kelompok dua terbaik Kumpulan E biarpun masih berbaki satu perlawanan.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke pusingan kalah mati.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung itu menyaksikan gol awal perlawanan dijaringkan oleh penyerang Muhammad Safawi Rasid pada minit kelima.

Malaysia terus menambah tekanan ke atas Korea Selatan apabila berjaya meledak gol kedua pada minit ke-45 juga hasil jaringan Muhammad Safawi.

Gol tunggal Korea Selatan dijaringkan oleh Son Heung Min pada minit ke-88.

Selepas ini Malaysia akan bertemu Bahrain pada Isnin. – UTUSAN ONLINE

 

‘Tutup buku Brazil, buka buku PSG’

PARIS: Neymar menyumbat gol sulungnya buat Paris Saint-Germain (PSG) sejak Februari membolehkan juara bertahan itu membuka kempen Ligue 1 dengan mengatasi Caen 3-0, awal pagi tadi.

Bintang Brazil itu yang mencetak 19 gol dalam 20 penampilan sebelum mengalami keretakan kaki pada musim lalu, hanya memerlukan 10 minit untuk meledak jaringan dalam aksi pertamanya selepas berehat selama enam bulan.

Adrien Rabiot menambah jaringan kedua untuk PSG sebelum separuh masa dan Timothy Weah anak kepada legenda Liberia, George Weah melengkapkan kemenangan itu dengan jaringan liga pertamanya.

Gianluigi Buffon turut memperagakan persembahan kemas dalam penampilan sulungnya ketika pengendali baharu PSG, Thomas Tuchel membuat permulaan sempurna di Parc des Princes.

“Kami beraksi baik dengan kesungguhan yang jitu, terutamanya di babak pertama. Pada babak kedua kami seakan hilang arah kerana kami belum benar-benar mencapai tahap 100 peratus,” kata kapten PSG, Thiago Silva kepada Canal+.

“Terdapat beberapa pemain tiba lewat (untuk pramusim) dan belum bersedia, seperti saya sebagai contohnya. Pada hujung permainan saya mengalami masalah kekejangan otot.”

Tuchel yang menggantikan Unai Emery dengan kontrak selama dua tahun, turun tanpa beberapa tonggak utama tatkala trio PSG yang memenangi Piala Dunia – Kylian Mbappe, Presnel Kimpembe dan Alphonse Areola  membawa trofi untuk diperagakan kepada peminat.

sumber:hm

Edinson Cavani dan Marco Verratti turut tidak disenaraikan untuk Tuchel membawa masuk pertahanan muda Colin Dagba dan Stanley N’Soko dan seorang lagi perancang tengah berusia 19 tahun, Antoine Bernede.

Terdahulu, Bertrand Traore dan Memphis Depay menjaringkan gol untuk membantu Lyon mencatat kemenangan 2-0 ke atas Amiens. – AFP

Kim Swee gugur dua pemain, Baddrol kapten

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menggugurkan dua lagi pemain, sekaligus melengkapkan senarai 20 pemain yang akan mewakili negara pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, minggu depan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan Kim Swee menggugurkan penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil dan pemain pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie, namun memanggil kembali penyerang Johor Darul Ta’zim II, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang baru pulang dari sesi percubaan di Jepun, baru-baru ini.

 

Kim Swee sebelum ini terpaksa menggugurkan penyerang Negeri Sembilan, N. Thanabalan selepas ujian MRI pada 9 Ogos lepas mendapati kecederaan lututnya memerlukan tempoh lebih lama untuk pulih.

FAM memaklumkan dua pemain Kedah iaitu pemain tengah Baddrol Bakhtiar, 30, dan pemain pertahanan Mohd Rizal Ghazali, 26, mengisi kuota tiga pemain lebih umur 23 tahun yang dibenarkan, namun satu lagi slot tidak dapat diisi kerana dua lagi pemain senior yang turut didaftarkan dalam senarai awal 30 pemain sebelum ini iaitu pemain JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pemain Perak, Shahrul Saad mengalami kecederaan.

 

Baddrol dilantik sebagai ketua pasukan bagi skuad Sukan Asia 2018 ini.

Skuad B-23 kebangsaan akan berlepas ke Jakarta, Indonesia, pada Isnin sebelum terus ke hotel penginapan di Bandung.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen Sukan Asia 2018 bertemu Republik Kyrgyzstan pada 15 Ogos dan Republik Korea pada 17 Ogos, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Malaysia akan berdepan Bahrain pada aksi terakhir kumpulan E di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang pada 20 Ogos.Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung pada 27 Ogos diikuti separuh akhir pada 29 Ogos, manakala aksi final pada 1 September. -Bernama

Senarai 20 pemain ke Sukan Asia:

Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin, Muhammad Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Muhammad Syafiq Ahmad (JDT); Muhammad Adib Zainuddin, Hadi Fayadh Abd Razak (JDT II); Baddrol Bakhtiar, Mohd Rizal Ghazali, Ifwat Akmal Chek Kassim, Muhd Akhyar Abdul Rashid (Kedah) Muhammad Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak (Kuala Lumpur); Faisal Abdul Halim, R. Kogileswaran (Pahang); Muhamad Daniel Amier Norhisham (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan); Muhamad Syazwan Zaipol Bahari (Perak); Tommy Mawat Bada (PJ Rangers FC); Muhammad Syahmi Safari (Selangor).

 

100 hari: Umno senaraikan kegagalan PH

SHAH ALAM – Umno menyenaraikan kegagalan PH menjelang 100 hari pemerintahan di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata rakyat tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu menelan segala kesan yang dirasai.

“Ternyata mereka gagal tunaikan janji dengan ‘dateline’ yang mereka cipta sendiri. Hanya sesuku sahaja yang separa tertunai. Itu pun dengan impak kerosakan teruk kepada ekonomi negara.

 

“Rakyat tidak dapat buat apa walau cukai semakin tinggi, tajaan PTPTN semakin sukar, harga barang semakin naik, tol terus terpaksa dibayar, gaji minimum RM1500 tidak terlaksana, bantuan sara hidup semakin kecil, pekerjaan semakin sukar.

“Terpaksalah telan dan berpuas hati dengan umpanan label serta kebencian kepada kerajaan lama. Selamat menyambut hari ke-100 kerajaan kakistocracy PH,” tulisnya.

Menurut Annuar, senarai kerosakan dibuat PH itu akan terus bertambah susulan ahli-ahli Kabinet ‘berkepala dua’.

 

“Semua kerosakan ini akan bertambah. Ketua kerajaan tidak dapat memilih yang terbaik kerana semua anggota Kabinet bukan saja ‘berkepala dua’ dengan dasar berbeza tetapi juga terpaksa korbankan kualiti kerana kuota didahulukan.

“Maka jadilah kerajaan PH ini kerajaan kakistocracy tulen. Sedikit pengharapan yang masih ada ialah kumpulan reformasi, baru mencari ruang pernah dijanjikan. Itu pun kalau tidak disegerakan besar kemungkinan pisang berbuah dua kali,” katanya.

Menurut Annuar kerosakan ekonomi yang berlaku ialah kehilangan pendapatan negara melalui GST, tunggakan bayaran balik tuntutan GST membengkak, pelaburan asing menguncup, mata wang negara semakin lemah dan harga komoditi terus merundum.

 

“Munculnya ketagihan lama terhadap kereta nasional, Formula 1, jambatan bengkok, Ting Phek King, Daim, St Miguel dan Jepun akan menyeret kembali ke era krisis ekonomi atau matawang 90-an.

sumber:sh

“Pasaran Saham Malaysia telah kehilangan puluhan bilion mutakhir ini. Tahap 1800 mata yang dicapai sebelum ini semakin jauh,” katanya.

Katanya, sistem lain juga turut rosak termasuk Kabinet, badan kehakiman, legislatif, sosial, politik dan bahasa.

Salah masih berbisa

LIVERPOOL 12 Ogos – Perbelanjaan besar ketika jendela perpindahan pemain telah menampakkan hasil lumayan apabila Liverpool mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas West Ham United dalam perlawanan pertama mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Ketika musim perpindahan pemain, The Reds mencatat pasukan paling tertinggi berbelanja dengan jumlah sebanyak 182.2 juta Euro (RM849.65 juta).

Pengurus pasukan, Jurgen Klopp membariskan skuad terbaik di Stadium Anfield dalam usaha mencari tiga mata pertama di laman sendiri.

Percaturannya membuahkan hasil apabila tonggak penyerangnya, Mohamed Salah meledak gol pertama seawal minit ke-19 selepas bijak menyudahkan hantaran menarik Andy Robertson dari sebelah kanan gawang pelawat.

 

Giliran bintang Senegal, Sadio Mane menggandakan jaringan buat tuan rumah pada minit terakhir babak pertama apabila mudah menampan bola ke dalam jaring hasil hantaran lintang James Milner.

Bersambung babak kedua, jentera serangan Liverpool terus bernafsu memburu gol dan hasilnya Mane sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila melepaskan rembatan dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Lukasz Fabianski pada minit ke-53.

 

Penyerang England, Daniel Sturridge melengkapkan malam gemilang tuan rumah apabila menampan bola ke gawang selepas menerima hantaran menerusi sepakan penjuru di sebelah kanan pasukan pelawat.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool memulakan kempen Liga Perdana dengan merampas kedudukan teratas liga daripada Chelsea yang sebelum ini meraih kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town. -AGENSI

 

“Lebih hebat daripada Salah”

RAMAI peminat Everton memberikan pendapat mereka terhadap keputusan seri di Wolves dan mereka tidak percaya betapa bagusnya Richarlison.

Walaupun pemain itu lambat memanaskan permainan, Richarlison tidak syak lagi menjadi pemain terbaik pada petang Ahad dalam perlawanan di Molineux.

Pemain kelahiran Brazil itu menjadi buah mulut peminat di media sosial disebabkan oleh yuran perpindahannya yang mungkin meningkat kepada £50 juta (RM260 juta).

Memetik laporan Football Fan Cast, dia berjaya membuktikan kemampuannya walaupun Everton kurang menyerlah ketika berdepan dengan Wolves.

 

Pasukan tuan rumah merebut peluang selepas masa rehat apabila Phil Jagielka diberikan kad merah, tetapi Richarlison tampil dengan penyudah yang cantik.

Dia menggelecek bola di depan pemain pertahanan dan membawanya jauh daripada Rui Patricio.

Ia merupakan gol keduanya bagi perlawanan itu selepas dia menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama.

Penyokong mula menghadiahkan pujian kepada pemain yang dibeli pada harga tinggi itu.

 

Antara reaksi yang diberikan oleh penyokong adalah: “Richarlison lebih hebat daripada Neymar,” tulis @ramon_lima7.

Manakala Kevin Soderbergh pula berkata: “Lebih hebat daripada Salah.”

Sementara Justin Day beranggapan pengambilan Richarlison berbaloi buat pasukan itu.

“Berbaloi setiap sen!”

 

Ronaldo dimasukkan ke unit rawatan insentif

RONALDO berada dalam rawatan intensif di Ibiza selepas disahkan mengalami pneumonia.

Menurut laporan berita, bekas penyerang Barcelona, Real Madrid dan Brazil yang berusia 41 tahun itu dikatakan menghidapi penyakit tersebut selepas dikejarkan ke Hospital Can Misses di kepulauan Sepanyol pada Jumaat malam.

Pemain itu minta ditukarkan ke hospital swasta Clinica Nuestra Señora del Rosario sebelum tengah malam hari yang sama, lapor akhbar tempatan Diario de Ibiza.

Laporan tersebut menyatakan sumber hospital memberitahu, pemain tersebut masih dalam rawatan intensif, tapi keadaannya semakin pulih.

Kakitangan di Hospital Can Misses berkata, mereka tidak dapat memberikan maklumat atas dasar melindungi data pesakit.

Sementara itu, setakat pagi Ahad tiada sesiapa di hospital swasta Clinica Nuestra Señora del Rosario boleh dihubungi untuk memberikan maklum balas.

 

Ronaldo yang dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dunia itu memiliki rumah di Ibiza dan sering berkunjung ke pulau tersebut.

Ronaldo dipercayai tiba di White Isle beberapa hari lalu untuk menikmati cuti musim panas.

Bekas pemain tengaj Manchester United dan England, Rio Ferdinand mengucapkan agar pemain itu segera sembuh sebaik mengetahui tentang keadaannya.

Memetik laporan Mirror UK, Ronaldo bersara daripada dunia bola sepak pada 2011 .

Sejak menggantung kasut butnya, pemenang anugerah Ballon d’Or dua kali atau nama penuhnya Ronaldo Luis Nazario de Lima bergelut dengan berat badannya kerana mengalami masalah kelenjar tiroid.

 

Guan Eng sakit hati tengok Equanimity

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menyatakan rasa sedihnya terhadap rakyat ketika beliau memasuki dan melihat kapal layar mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low.

Guan Eng berkata kapal tersebut sangat mewah dan begitu cantik namun dari satu sudut beliau berkata beliau berasa sakit hati apabila mengenangkan nasib yang diperlakukan terhadap rakyat.

“Semalam saya pergi tengok kapal itu menemani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, bagaikan mimpi punya hebat… tapi kita tengok pun kita rasa sedih dan sakit hati kerana ini semua rakyat punya wang kalau kita boleh gunakan wang ini untuk rakyat betapa baiknya.

“Itulah sebabnya kita menggalakkan semua organisasi seperti One Hope Charity ini kerana kerajaan kurang wang… kita galakkan anda buat banyak program seperti ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-16 One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) Berhad, di Juru Auto City, di Bukit Mertajam.

Guan Eng berkata kerajaan juga sedang dalam proses mengkaji bagi memberi pengecualian cukai kepada persatuan-persatuan dan badan bakan kerajaan (NGO) tertentu yang aktif melakukan program amal dan bantuan.

“Ia akan dikaji dan pengecualian boleh dibuat sehingga 7 peratus dan ia akan diumumkan pada belanjawan 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November ini,” katanya.

Kapal mewah itu yang dianggarkan bernilai RM1 bilion dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak berkuasa antarabangsa masih memburu pemilik kapal itu dipercayai milik Jho Low bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Sementara itu, seramai 2,500 orang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan menerima barangan keperluan harian menerusi program tersebut.

Pengerusi One Hope Charity Chua Sui Hau berkata, pada majlis itu juga sebanyak 7,000 set makanan percuma diberikan kepada orang ramai yang hadir.

Chua berkata, pada 2017, dana yang dikeluarkan One Hope Charity berjumlah melebihi RM4.22 juta dan pada hari ini sahaja melibatkan RM1juta.

“Selain itu, hari ini pihak kami juga menyediakan 300 set barangan keperluan harian bernilai RM90,000 kepada kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai menghargai jasa mereka dalam melaksanakan tugas harian,” katanya.

sumber:- MK

– Bernama

Lantik Honda jadi Pengurus tanpa gaji

PHNOM PENH:  Bintang Jepun, Keisuke Honda menandatangani kontrak dua tahun tanpa gaji sebagai pengurus skuad kebangsaan Kemboja hari ini.

Honda yang menyertai kelab A-League, Melbourne Victory awal bulan ini dan bersara daripada bola sepak antarabangsa bulan lalu selepas Jepun tewas kepada Belgium di Piala Dunia, berkata dia berminat untuk membantu bola sepak Kemboja dan mempromosi negara berkenaan.

“Saya akan membantu Kemboja membangunkan gaya permainan sebenar,” kata penyerang berusia 32 tahun dan bekas pemain AC Milan itu.

Honda akan berhubung dengan pemain menerusi persidangan video dari Australia dan akan berada di Kemboja sekerap mungkin di luar komitmen sedia ada.

“Persekutuan Bola Sepak Kemboja gembira dengan persetujuan Honda untuk memberi sokongan secara sukarela dan membantu melatih skuad kebangsaan Kemboja,” kata presidennya Sao Sokha.

Kemboja kini menduduki ranking ke-166 dunia. Honda sebelum ini pernah melancarkan akademi bola sepak di Kemboja pada tahun 2016. – AFP

Banyak organ gagal berfungsi, penyanyi Azreen Manan kritikal

PUTRAJAYA: Penyanyi era 1990-an Azreen Manan yang menghidap kanser serviks tahap empat berada dalam keadaan kritikal di Institut Kanser Negara (IKN) selepas dimasukkan ke hospital itu pada Sabtu.

Suaminya yang mahu dikenali sebagai Shah, 41, berkata, keadaan kesihatan Azreen merosot sejak seminggu lalu sebelum dirujuk kembali ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Sejak seminggu lalu keadaan Azreen agak merosot tetapi semalam (Sabtu) ibu mertua memaklumkan keadaannya tidak stabil.

“Saya kebetulan berada di luar kawasan terus menghubungi IKN dan pulang ke Kuala Lumpur dan terus membawanya ke sini,” katanya. ketika ditemui mStar Online di hospital itu pada Ahad.

 

 

 

Azreen atau nama sebenar Azrina Abdul Manan, 41, dilaporkan menghidapi kanser tersebut sejak dua tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan membuang ovari.

Bagaimanapun, penyakit tersebut kembali menyerang pada awal tahun lalu selepas dia mengadu sakit pada bahagian kaki.

Dia menjalani pembedahan kedua pada Mac lalu.

Sementara itu tambah Shah, doktor memberitahu makanan yang dimakan Azreen tidak dapat diproses dan diserap berikutan beberapa organ dalaman sudah tidak berfungsi.

“Dia makan banyak kerana nak badan naik macam dahulu tapi tetap kurus kerana makanan itu sudah tidak diproses dan diserap.

“Doktor beritahu banyak organ gagal berfungsi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shah berkata, dia bersedia dengan segala kemungkinan kehilangan isterinya itu.

Katanya, isterinya seorang yang kuat semangat dan sentiasa berjuang melawan penyakit.

“Doktor sudah beri tempoh jangka hayatnya tapi dia tidak tahu dan sehingga sekarang dia masih berjuang untuk sembuh.

“Dia masih boleh bercakap, kenal orang dan ajak saya untuk pergi bercuti jika dia sembuh nanti,” ujarnya.

Untuk rekod, pada zaman popularnya Azreen pernah menggejutkan dunia hiburan apabila dia memilih untuk berkahwin dengan adinda Sultan Pahang iaitu Datuk Seri Tengku Kamaruzzaman Sultan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tengku Intan pada tahun 1993.

 

Azreen Manan antara penyanyi remaja popular pada awal 1990-an. Sumber foto GOOGLE

Ketika itu Azreen baru berusia 16 tahun.

Album pertamanya dihasilkan pada tahun 1989 ketika berusia 12 tahun. Antara karya yang menaikkan namanya ialah menerusi lagu Semalam Yang Berlalu.

Azreen pernah mendapat tempat ketiga semasa mewakili Malaysia dalam pertandingan Asia Bagus pada tahun 1992 di Jepun yang mana dalam acara itu, Indonesia, diwakili Krisdayanti mendapat tempat pertama.

Antara filem lakonannya ialah Azizah The Lagend (1993).

Hasil perkahwinan Azreen dengan Tengku Intan, mereka mendapat sepasang anak yang kini berusia 24 tahun dan 21 tahun.

sumber:- mstar

Selepas berpisah dengan Tengku Intan, Azreen berkahwin lain.