Malaysia jinakkan Juara Bertahan untuk ke 16 akhir

JAKARTA 17 Ogos – Skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) berjaya mengesahkan slot ke saingan kalah mati selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 ketika aksi Kumpulan E Sukan Asia 2018, sebentar tadi.

Kemenangan kedua skuad B-23 negara itu telah menjamin tempat Malaysia dalam kelompok dua terbaik Kumpulan E biarpun masih berbaki satu perlawanan.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke pusingan kalah mati.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung itu menyaksikan gol awal perlawanan dijaringkan oleh penyerang Muhammad Safawi Rasid pada minit kelima.

Malaysia terus menambah tekanan ke atas Korea Selatan apabila berjaya meledak gol kedua pada minit ke-45 juga hasil jaringan Muhammad Safawi.

Gol tunggal Korea Selatan dijaringkan oleh Son Heung Min pada minit ke-88.

Selepas ini Malaysia akan bertemu Bahrain pada Isnin. – UTUSAN ONLINE

 

‘Tutup buku Brazil, buka buku PSG’

PARIS: Neymar menyumbat gol sulungnya buat Paris Saint-Germain (PSG) sejak Februari membolehkan juara bertahan itu membuka kempen Ligue 1 dengan mengatasi Caen 3-0, awal pagi tadi.

Bintang Brazil itu yang mencetak 19 gol dalam 20 penampilan sebelum mengalami keretakan kaki pada musim lalu, hanya memerlukan 10 minit untuk meledak jaringan dalam aksi pertamanya selepas berehat selama enam bulan.

Adrien Rabiot menambah jaringan kedua untuk PSG sebelum separuh masa dan Timothy Weah anak kepada legenda Liberia, George Weah melengkapkan kemenangan itu dengan jaringan liga pertamanya.

Gianluigi Buffon turut memperagakan persembahan kemas dalam penampilan sulungnya ketika pengendali baharu PSG, Thomas Tuchel membuat permulaan sempurna di Parc des Princes.

“Kami beraksi baik dengan kesungguhan yang jitu, terutamanya di babak pertama. Pada babak kedua kami seakan hilang arah kerana kami belum benar-benar mencapai tahap 100 peratus,” kata kapten PSG, Thiago Silva kepada Canal+.

“Terdapat beberapa pemain tiba lewat (untuk pramusim) dan belum bersedia, seperti saya sebagai contohnya. Pada hujung permainan saya mengalami masalah kekejangan otot.”

Tuchel yang menggantikan Unai Emery dengan kontrak selama dua tahun, turun tanpa beberapa tonggak utama tatkala trio PSG yang memenangi Piala Dunia – Kylian Mbappe, Presnel Kimpembe dan Alphonse Areola  membawa trofi untuk diperagakan kepada peminat.

sumber:hm

Edinson Cavani dan Marco Verratti turut tidak disenaraikan untuk Tuchel membawa masuk pertahanan muda Colin Dagba dan Stanley N’Soko dan seorang lagi perancang tengah berusia 19 tahun, Antoine Bernede.

Terdahulu, Bertrand Traore dan Memphis Depay menjaringkan gol untuk membantu Lyon mencatat kemenangan 2-0 ke atas Amiens. – AFP

Kim Swee gugur dua pemain, Baddrol kapten

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menggugurkan dua lagi pemain, sekaligus melengkapkan senarai 20 pemain yang akan mewakili negara pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, minggu depan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan Kim Swee menggugurkan penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil dan pemain pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie, namun memanggil kembali penyerang Johor Darul Ta’zim II, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang baru pulang dari sesi percubaan di Jepun, baru-baru ini.

 

Kim Swee sebelum ini terpaksa menggugurkan penyerang Negeri Sembilan, N. Thanabalan selepas ujian MRI pada 9 Ogos lepas mendapati kecederaan lututnya memerlukan tempoh lebih lama untuk pulih.

FAM memaklumkan dua pemain Kedah iaitu pemain tengah Baddrol Bakhtiar, 30, dan pemain pertahanan Mohd Rizal Ghazali, 26, mengisi kuota tiga pemain lebih umur 23 tahun yang dibenarkan, namun satu lagi slot tidak dapat diisi kerana dua lagi pemain senior yang turut didaftarkan dalam senarai awal 30 pemain sebelum ini iaitu pemain JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pemain Perak, Shahrul Saad mengalami kecederaan.

 

Baddrol dilantik sebagai ketua pasukan bagi skuad Sukan Asia 2018 ini.

Skuad B-23 kebangsaan akan berlepas ke Jakarta, Indonesia, pada Isnin sebelum terus ke hotel penginapan di Bandung.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen Sukan Asia 2018 bertemu Republik Kyrgyzstan pada 15 Ogos dan Republik Korea pada 17 Ogos, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Malaysia akan berdepan Bahrain pada aksi terakhir kumpulan E di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang pada 20 Ogos.Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung pada 27 Ogos diikuti separuh akhir pada 29 Ogos, manakala aksi final pada 1 September. -Bernama

Senarai 20 pemain ke Sukan Asia:

Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin, Muhammad Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Muhammad Syafiq Ahmad (JDT); Muhammad Adib Zainuddin, Hadi Fayadh Abd Razak (JDT II); Baddrol Bakhtiar, Mohd Rizal Ghazali, Ifwat Akmal Chek Kassim, Muhd Akhyar Abdul Rashid (Kedah) Muhammad Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak (Kuala Lumpur); Faisal Abdul Halim, R. Kogileswaran (Pahang); Muhamad Daniel Amier Norhisham (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan); Muhamad Syazwan Zaipol Bahari (Perak); Tommy Mawat Bada (PJ Rangers FC); Muhammad Syahmi Safari (Selangor).

 

Salah masih berbisa

LIVERPOOL 12 Ogos – Perbelanjaan besar ketika jendela perpindahan pemain telah menampakkan hasil lumayan apabila Liverpool mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas West Ham United dalam perlawanan pertama mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Ketika musim perpindahan pemain, The Reds mencatat pasukan paling tertinggi berbelanja dengan jumlah sebanyak 182.2 juta Euro (RM849.65 juta).

Pengurus pasukan, Jurgen Klopp membariskan skuad terbaik di Stadium Anfield dalam usaha mencari tiga mata pertama di laman sendiri.

Percaturannya membuahkan hasil apabila tonggak penyerangnya, Mohamed Salah meledak gol pertama seawal minit ke-19 selepas bijak menyudahkan hantaran menarik Andy Robertson dari sebelah kanan gawang pelawat.

 

Giliran bintang Senegal, Sadio Mane menggandakan jaringan buat tuan rumah pada minit terakhir babak pertama apabila mudah menampan bola ke dalam jaring hasil hantaran lintang James Milner.

Bersambung babak kedua, jentera serangan Liverpool terus bernafsu memburu gol dan hasilnya Mane sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila melepaskan rembatan dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Lukasz Fabianski pada minit ke-53.

 

Penyerang England, Daniel Sturridge melengkapkan malam gemilang tuan rumah apabila menampan bola ke gawang selepas menerima hantaran menerusi sepakan penjuru di sebelah kanan pasukan pelawat.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool memulakan kempen Liga Perdana dengan merampas kedudukan teratas liga daripada Chelsea yang sebelum ini meraih kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town. -AGENSI

 

“Lebih hebat daripada Salah”

RAMAI peminat Everton memberikan pendapat mereka terhadap keputusan seri di Wolves dan mereka tidak percaya betapa bagusnya Richarlison.

Walaupun pemain itu lambat memanaskan permainan, Richarlison tidak syak lagi menjadi pemain terbaik pada petang Ahad dalam perlawanan di Molineux.

Pemain kelahiran Brazil itu menjadi buah mulut peminat di media sosial disebabkan oleh yuran perpindahannya yang mungkin meningkat kepada £50 juta (RM260 juta).

Memetik laporan Football Fan Cast, dia berjaya membuktikan kemampuannya walaupun Everton kurang menyerlah ketika berdepan dengan Wolves.

 

Pasukan tuan rumah merebut peluang selepas masa rehat apabila Phil Jagielka diberikan kad merah, tetapi Richarlison tampil dengan penyudah yang cantik.

Dia menggelecek bola di depan pemain pertahanan dan membawanya jauh daripada Rui Patricio.

Ia merupakan gol keduanya bagi perlawanan itu selepas dia menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama.

Penyokong mula menghadiahkan pujian kepada pemain yang dibeli pada harga tinggi itu.

 

Antara reaksi yang diberikan oleh penyokong adalah: “Richarlison lebih hebat daripada Neymar,” tulis @ramon_lima7.

Manakala Kevin Soderbergh pula berkata: “Lebih hebat daripada Salah.”

Sementara Justin Day beranggapan pengambilan Richarlison berbaloi buat pasukan itu.

“Berbaloi setiap sen!”

 

Ronaldo dimasukkan ke unit rawatan insentif

RONALDO berada dalam rawatan intensif di Ibiza selepas disahkan mengalami pneumonia.

Menurut laporan berita, bekas penyerang Barcelona, Real Madrid dan Brazil yang berusia 41 tahun itu dikatakan menghidapi penyakit tersebut selepas dikejarkan ke Hospital Can Misses di kepulauan Sepanyol pada Jumaat malam.

Pemain itu minta ditukarkan ke hospital swasta Clinica Nuestra Señora del Rosario sebelum tengah malam hari yang sama, lapor akhbar tempatan Diario de Ibiza.

Laporan tersebut menyatakan sumber hospital memberitahu, pemain tersebut masih dalam rawatan intensif, tapi keadaannya semakin pulih.

Kakitangan di Hospital Can Misses berkata, mereka tidak dapat memberikan maklumat atas dasar melindungi data pesakit.

Sementara itu, setakat pagi Ahad tiada sesiapa di hospital swasta Clinica Nuestra Señora del Rosario boleh dihubungi untuk memberikan maklum balas.

 

Ronaldo yang dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dunia itu memiliki rumah di Ibiza dan sering berkunjung ke pulau tersebut.

Ronaldo dipercayai tiba di White Isle beberapa hari lalu untuk menikmati cuti musim panas.

Bekas pemain tengaj Manchester United dan England, Rio Ferdinand mengucapkan agar pemain itu segera sembuh sebaik mengetahui tentang keadaannya.

Memetik laporan Mirror UK, Ronaldo bersara daripada dunia bola sepak pada 2011 .

Sejak menggantung kasut butnya, pemenang anugerah Ballon d’Or dua kali atau nama penuhnya Ronaldo Luis Nazario de Lima bergelut dengan berat badannya kerana mengalami masalah kelenjar tiroid.

 

Lantik Honda jadi Pengurus tanpa gaji

PHNOM PENH:  Bintang Jepun, Keisuke Honda menandatangani kontrak dua tahun tanpa gaji sebagai pengurus skuad kebangsaan Kemboja hari ini.

Honda yang menyertai kelab A-League, Melbourne Victory awal bulan ini dan bersara daripada bola sepak antarabangsa bulan lalu selepas Jepun tewas kepada Belgium di Piala Dunia, berkata dia berminat untuk membantu bola sepak Kemboja dan mempromosi negara berkenaan.

“Saya akan membantu Kemboja membangunkan gaya permainan sebenar,” kata penyerang berusia 32 tahun dan bekas pemain AC Milan itu.

Honda akan berhubung dengan pemain menerusi persidangan video dari Australia dan akan berada di Kemboja sekerap mungkin di luar komitmen sedia ada.

“Persekutuan Bola Sepak Kemboja gembira dengan persetujuan Honda untuk memberi sokongan secara sukarela dan membantu melatih skuad kebangsaan Kemboja,” kata presidennya Sao Sokha.

Kemboja kini menduduki ranking ke-166 dunia. Honda sebelum ini pernah melancarkan akademi bola sepak di Kemboja pada tahun 2016. – AFP

Pique umum persaraan

Gerard Pique mengesahkan persaraan antarabangsanya akan tiba selepas membuat 102 penampilan untuk Sepanyol.

Pemain pertahanan Barcelona itu membuat pengumuman menjelang pertembungan Supercopa de Espana menentang Sevilla awal hari ini dengan mendedahkan bahawa dia sudah memberitahu bos pasukan kebangsaan baru, Luis Enrique, mengenai keputusannya.

“Saya bercakap dengan Luis Enrique dan memberitahunya bahawa keputusan saya sudah dibuat,” kata Pique kepada media.

“Saya mempunyai masa yang sangat baik dengan pasukan Sepanyol dan saya sangat gembira kerana menjadi sebahagian daripada kejayaan.”

Pique — yang mencapai mencapai penampilan antarabangsanya yang ke-100 dalam Piala Dunia 2018 di Russia — merupakan sebahagian daripada skuad yang berjaya memenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Dia akan bersara di pentas antarabangsa selepas memenangi 102 penampilan untuk Sepanyol.

Permulaan baik buat Chelsea Sarri, Jorginho dan Kepa

HUDDERSFIELD (England) 12 Ogos – Walaupun menang mudah 3-0 menentang Huddersfield, namun aksi pertama Chelsea musim 2019 agak goyah buat pertama kali juga di bawah kelolaan Maurizio Sarri walaupun dilengkapi dengan penjaga gol termahal di dunia Kepa Arrizabalaga serta pemain tengah Jorginho.

Lebih goyah apabila kemampuan mengawal keseluruhan perlawanan gagal diterjemahkan kepada gol kerana penyerang utama Morata masih lagi belum mendapat sentuhan terbaiknya.

Kebuntuan itu akhirnya dipecahkan oleh N’Golo Kante yang bermain di posisi tengah kanan dan tidak posisi biasanya tengah pertahanan yang telah diambil alih oleh Jorginho.

 

Jorginho juga membukti kenapa Sarri beria-ia membawa dia ke Chelsea dari Napoli apabila tenang menyudahkan penalti selepas Marcos Alonso dikasari di dalam kotak penalti.

Walaupun mendahului dengan 2-0 selepas tamat separuh masa pertama, masuk separuh kedua Chelsea cuba bermain dengan lebih laju dengan hantaran lebih banyak kepada ke barisan serangan.

Bagaimanapun ia kurang berhasil hinggalah Eden Hazard dimasukkan menggantikan Willan menyaksikan pemain kebangsaan Belgium itu melorong bola yang cantik kepada Pedro Rodriguez untuk mudah menewaskan penjaga gol lawan.

 

Kepa pula lebih banyak berehat kerana sangat jarang bola memasuk ke dalam kotak penalti Chelsea sepanjang perlawanan.

Formasi 4,3,3 dan corak permainan baharu yang dibawa oleh Sarri keseluruhannya belum dapat dihadam dengan baik oleh para pemain Chelsea.

Apabila para pemain telah menguasai formasi dan corak permainan baharu pasukan dari Stamford Bridge itu diyakini akan mempamerkan aksi yang menarik serta menghiburkan berbanding ketika dikendali oleh Antonio Conte dan Jose Mourinho. – AGENSI

 

Iniesta ledak gol pertama di Liga J

TOKYO: Pemain sensasi Sepanyol, Andres Iniesta menjaringkan gol pertama dirinya di Liga Jepun (Liga-J) ketika membantu kelabnya, Vissel Kobe meraih kemenangan 2-1 ke atas Jubilo Iwata di Stadium Misaki Park.

Bekas pemain Barcelona itu muncul watak penting di sebalik kemenangan itu dengan memperagakan aksi menarik sepanjang perlawanan.

Dia meledak gol pertama selepas 15 minit perlawanan berlangsung sebelum rakan sepasukan, Kyogo Furuhashi menambah jaringan di minit ke-56.

Jubilo cuba bangkit dengan merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Kengo Kawamata namun ianya tidak cukup untuk menafikan kemenangan tuan rumah yang kini melonjak ke tangga keempat liga dengan 32 mata.

Sementara itu, rakan senegara Iniesta yang turut beraksi di Liga-J bersama pasukan Sagan Tosu, Fernando Torres memastikan tiga mata penuh berjaya diraih selepas menundukkan Urawa Reds 1-0 di halaman sendiri.

Gol tunggal dijaringkan Hideto Takahashi pada minit ke-53 itu cukup berharga ketika mereka kini berusaha untuk keluar dari zon penyingkiran. – AFP