Pogba tak percaya Mourinho

LONDON: Spekulasi mengenai masa depan Paul Pogba di Manchester United terus memuncak dengan media British mendakwa pemain tengah berkenaan bimbang dikenakan tindakan sekiranya mengeluarkan kenyataan yang salah.

Pemain yang menjulang Piala Dunia 2018 itu, berpindah ke Old Trafford pada 2016 dengan nilai £89 juta (RM465 juta), dikaitkan dengan satu lagi perpindahan bernilai tinggi ke Barcelona, susulan beberapa krisis dengan pengurus United, Jose Mourinho.

Namun pemain berusia 25 tahun itu dilantik kapten ketika menewaskan Leicester City dalam aksi pembukaan Liga Perdana selain mendapat pujian Mourinho susulan prestasinya, termasuk jaringan yang membolehkan United menang 2-1.

Bagaimanapun komennya di Instagram miliknya selepas perlawanan terus mencetuskan spekulasi bahawa terdapat perkara yang masih belum selesai sepenuhnya di Old Trafford. Ia mencerminkan hubungannya dengan bos United dengan dia menulis: “Saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk penyokong dan rakan sepasukan, tidak kira apa yang berlaku.”

Dia tidak secara langsung menyebut Mourinho yang menjadi individu kritikal mendapatkannya dari Juventus pada 2016.

Namun kenyataannya di media British pada Ahad, dengan berkata: ” Terdapat perkara saya boleh bercakap dan ada sebaliknya…atau saya berdepan tindakan.”

Dia menambah: “Apabila orang mempercayai anda, anda merasakan bagus dan ia akan menjadi mudah. “Saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk penyokong, rakan sepasukan serta orang yang mempercayai saya. – Reuters

Kesalahan bapa saya ialah buat yang terbaik untuk negara

KUALA LUMPUR – Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa sekali lagi mempertahankan bapanya susulan kritikan yang dilemparkan oleh beberapa pimpinan Umno.

Nooryana Najwa berkata, bapanya telah berusaha  sehabis daya untuk berkhidmat kepada rakyat  dan menjadikan hidup mereka lebih baik.

“Satu-satunya perkara yang dia bersalah ialah cuba melakukan yang terbaik untuk negaranya,” katanya dalam satu ulasan di Malaysiakini.

Anak perempuan Najib mendakwa kemunculan bapanya di Sungai Kandis adalah “cerminan … perkara yang paling beliau suka iaitu menghabiskan masa bersama rakyat.

 

“Apabila seseorang meminta pertolongan, selagi permintaan itu munasabah, beliau (Najib) tidak pernah meletakkan keperluannya terlebih dahulu. Ia akan mengutamakan orang lain yang meminta pertolongan.

“Beliau tidak pernah meninggalkan rakyat, sahabat, dan rakan-rakan ketika saat-saat genting, mungkin kini mereka berbuat demikian kepadanya. Sepanjang hidupnya, bapa saya berusaha sedaya-upaya  berbakti kepada rakyat,” katanya.

Dia menambah, kehadiran bapanya membantu calon BN di PRK Sungai Kandis, sebagai membalas jasa Datuk Lokman Noor Adam kerana menyatakan sokongan pada malam bapanya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

“Lokman adalah salah seorang yang berdiri di luar bangunan SPRM, ketika bapa saya ditahan. Sebagai anak, saya bimbang dengan keselamatannya dan lega apabila ada sekelompok penyokong yang bersamanya  dalam peperangan membersihkan namanya.

sumber:sinar

“Jadi kehadiran bapa saya ketika siri kempen Sungai Kandis adalah sebagai mengenang budi Lokman, tiada apa yang salah,” katanya.

Minggu lalu, Najib menerima tamparan apabila beliau dikritik beberapa pimpinan Umno malah ada yang amnganggapnay sebagai ‘beban’ dan punca persepsi negatif pengundi PRK Sungai Kandis.

Alli bantu Spurs raih 3 mata

SELEPAS menempuh kempen pra-musim yang mengecewakan, Tottenham Hotspur tampil garang dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Newcastle United, sebentar tadi.

Pengurus pasukan, Mauricio Pochettino membariskan skuad terbaik di Stadium St James Park dalam usaha mencari tiga mata pertama di halaman lawan itu.

Percaturannya membuahkan hasil apabila tonggak pertahanan tengah Belgium, Jan Vertonghen meledak gol pertama seawal minit kelapan untuk mengejutkan penyokong tuan rumah.

 

Bagaimanapun, tiga minit kemudian The Magpies berjaya kembali mengikat kedudukan menerusi percubaan Joselu sebelum tandukan menarik Dele Alli kembali meletakkan pelawat mendahului 2-1 pada minit ke-18.

Biarpun tuan rumah cuba bangkit mencari gol penyamaan, keputusan itu kekal memihak Hotspur untuk menolak mereka kini berada di kelompok atasan bersama Manchester United yang turut melakar kemenangan pertama semalam.

Dalang ‘gaduh’ digugurkan, UAE FA mohon maaf kepada FAM

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) menggugurkan pemain tengah skuad Bawah 23 tahun (B-23), Mohammed Khalfan Al-Harazi daripada senarai pemain mewakili negara itu pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Tindakan itu diambil selepas persatuan itu meneliti laporan awal yang mendapati Mohammed Khalfan menjadi dalang utama mencetuskan insiden pergaduhan ketika aksi persahabatan membabitkan pasukan itu dengan skuad B-23 negara di Shah Alam, malam Jumaat.

Dalam satu kenyataan di laman sesawangnya pada Sabtu, UAE FA turut membuat permohonan maaf kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden itu yang tidak mencerminkan etika dan semangat kesukanan mereka.

“Kami amat kesal dan membantah tindakan yang dicetuskan Mohammed Khalfan Al-Harazi yang tiada kaitan dengan moral dan semangat kesukanan yang sentiasa menjadi slogan pasukan kebangsaan dan juga kelab dalam setiap perlawanan.

“Berdasarkan laporan awal yang diterima, kami memutuskan untuk menggugurkan pemain tersebut dari senarai pasukan yang mewakili “Asayad”.

“Selain itu dia akan dirujuk kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas pemain itu mengikut prosedur dan undang-undang yang sudah ditetapkan selari dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” demikian menurut kenyataan itu.

Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan telah menerima surat rasmi permohonan maaf daripada UAE FA selepas satu perbincangan diadakan antara kedua-dua pihak susulan insiden itu.

“Saya dan (Presiden) Datuk Hamidin Mohd Amin terus mengadakan perbincangan dengan pihak UAE FA menerusi Setiausaha Agungnya, Mohammed Hazzam Al Dhaheri dan juga naib presidennya, Abdulla Naser Al Jneibi serta pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John.

“Selepas perbincangan, FAM telah menerima surat rasmi daripada UAE FA menyatakan mereka meminta maaf di atas insiden pergaduhan terbabit dan mengambil serius apa yang berlaku itu dengan akan melakukan siasatan dalaman bagi tindakan diambil kepada pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Stuart berkata FAM juga akan mengemukakan laporan daripada Komisioner Perlawanan (MC) dan juga pengadil kepada AFC pada Sabtu.

“FAM seterusnya akan membuat tindakan susulan dengan AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan daripada semua pihak,” katanya.

Insiden pergaduhan itu berlaku pada masa kecederaan babak kedua dan ia tercetus selepas Mohammad Khalfan mengasari pemain negara sebelum ada tindak balas.

Namun pergaduhan itu berjaya dikawal oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian.

sumber:- mstar

Dua gol Malaysia dijaringkan masing-masing oleh Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Mohammad Akhyar Abdul Rashid (m-64).

Beri peluang Ronaldo bersama Juventus

ROME: Penyokong Juventus berpeluang melihat lebih dekat bintang mereka,  Cristiano Ronaldo pada awal pagi esok apabila dia tampil buat kali pertama untuk juara Itali berkenaan seminggu sebelum musim baru Serie A.

Ronaldo, yang menyertai Juventus meninggalkan Real Madrid dengan perpindahan mengejutkan bernilai 100 juta euro (RM467 juta) sebulan lalu, akan menyarung jersi Juventus buat kali pertama dalam perlawanan tradisi pramusim kelab antara skuad utama menentang skuad B di Villar Perosa, bandar kecil terletak 40 kilometer dari barat Turin.

Terletak di kaki banjaran Alps, Villar Perosa (populasi sekitar 4,100) adalah estet keluarga yang juga lokasi tumpuan musim panas kepada keluarga Agnellis, pemilik Juventus sejak 1923.

Mereka adalah pengasas kereta Fiat dan sering digelar “Italian Kennedys” tinggal di “The Castle” di Villar Perosa sejak abad ke-19 dengan bekas pengerusi kelab yang sudah meninggal dunia, Gianni Agnelli adalah Datuk Bandar dari 1945 dan 1980.

Dijangka penyokong luar yang membanjiri Villar Perosa adalah melebihi populasinya apabila lebih 5,000 tiket sudah lama habis dijual dan ramai dijangka terdesak untuk menyaksikan aksi idola terbaru mereka. -AFP

Kami silap kerana melawan – Muhamad Syazwan

PEMAIN pertahanan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari tampil dengan sikap profesional mengakui kesilapan dilakukannya dan rakan sepasukan lain apabila bertindak balas terhadap tindakan ‘kurang cerdik’ pemain Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammad Khalfan Al-Harazi .

Pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam itu, pergaduhan pemain tercetus pada masa kecederaan babak kedua yang menyaksikan perlawanan berkenaan berakhir memihak kepada skuad negara dengan keputusan 2-0.

 

Muhamad Syazwan berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku ketika skuad negara sedang mendahului lawan namun tindak balas itu berlaku secara spontan selepas Mohammad Khalfan bertindak menyiku seorang lagi pertahanan negara, Muhammad Adib Zainudin.

“Saya tahu mereka ada meludah dan pijak tetapi yang (insiden) dengan Adib itu saya dapat lihat jelas depan mata saya. Adib cuma halang dia tetapi tiba-tiba dia (Mohammad Khalfan) naik tangan dan ketika itu Adib berdarah di bahagian bibir.

 

“Ia spontan kerana saya bukan orang seperti itu. Ia diluar kawalan namun apa pun saya juga ada silap kerana ketika sedang mendahului, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau ikutkan mereka yang cetuskan dulu. Ini pengajaran dan pembelajaran untuk kami. Kami perlu kawal diri dan mengelak situasi ini ketika sedang mendahului pasukan lawan bagi mengelak ‘rugi pemain dan tenaga’,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Pada saingan Sukan Asia di Indonesia nanti, Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan dalam Kumpulan E.

 

Ketika ditanya perasaan untuk menghadapi pasukan Arab lain, Muhamad Syazwan berkata insiden dengan UAE nyata mematangkan pemain untuk mengawal emosi ketika berdepan sebarang kemungkinan.

“Mungkin mereka tidak boleh terima kita sedang mendahului mereka dan mungkin mereka pandang rendah kepada kita.  Kita sudah tahu bagaimana tindakan mereka,” katanya.

Pellegrini, West Ham tidak fokus terhadap Salah

Manuel Pellegrini berkata West Ham tidak akan menggunakan sebarang taktik khusus untuk mengekang pemain Liverpool, Mohamed Salah, dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield, esok. 

Salah menikmati musim pertama yang hebat bersama skuad The Reds tahun lalu dengan menjaringkan 32 gol Liga Perdana untuk menuntut Kasut Emas dan menjadi ancaman kepada West Ham.

Tetapi Pellegrini tidak percaya ia adalah semudah hanya menangani Salah kerana penyerang itu mempunyai rakan sepasukan berkualiti seperti Roberto Firmino, Sadio Mane dan juga kini Xherdan Shaqiri, yang telah menyertai Liverpool daripada Stoke City.

“Kami tidak mempunyai rancangan khas untuknya kerana ia lebih mudah jika Liverpool hanya ada Mo Salah tetapi mereka tidak,” katanya dalam sidang akhbar. “Mereka mempunyai Firmino, Mane, Shaqiri.

“Tetapi Salah adalah pemain yang hebat dan kita semua lihat apa yang dilakukannya musim lalu.”

Sama seperti Liverpool, West Ham melabur dalam jendela perpindahan, termasuk menambah Issa Diop, Felipe Anderson dan Andriy Yarmolenko, dan Pellegrini melahirkan kelegaannya kerana memiliki beberapa pilihan.

“Perkara sukar adalah apabila kamu tidak mempunyai pilihan,” katanya. “Pemain tahu saya perlu memilih kesebelasan utama tetapi mereka juga tahu saya memerlukan skuad yang kuat dan bukan sekadar satu pasukan untuk berjaya dalam Liga Perdana.

“Kamu memerlukan dua pemain dalam setiap kedudukan dan mereka perlu berlatih keras untuk setiap perlawanan, maka ia akan menentukan keputusan saya bagi memilih kesebelasan utama.

“Ini adalah salah satu perkara yang paling sukar bagi seorang pengurus dan lebih ramai pemain, semakin besar masalahnya. Tetapi lebih sukar apabila kamu tidak mempunyai pilihan.

“Bagi saya, lebih mudah mempunyai pemain yang baik dan ada yang perlu menunggu peluang mereka. 40 hari yang kami usahakan sebelum musim, pemain bekerja dengan baik dengan idea-idea baru kami dan sistem baru kami.”

Bonucci gembira Juve tidak lagi ‘ketinggalan gol’

TURIN: Leonardo Bonucci gembira ketibaan Ronaldo bersama Juventus, yang memburu trofi Liga Juara-Juara, untuk membolehkan juara Itali berkenaan tidak lagi bermula dengan ketinggalan “0-1” apabila menentang Real Madrid.

 

Ronaldo sentiasa menjadi pemusnah di Eropah untuk Juventus sejak kebelakangan ini, meledak 10 gol dalam tujuh perlawanan menentang pasukan Serie A berkenaan untuk membolehkan Real Madrid menjulang Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut.

“Apabila mempunyai Ronaldo dalam pasukan, ia bermakna kami tidak akan turun dalam perlawanan ketinggalan 0-1,” kata Bonucci, yang kembali ke Juventus selepas setahun bersama AC Milan.

Ronaldo, menjadi penghalang Juventus merangkul Liga Juara-Juara sejak kali terakhir 1996,  meledak dua gol di final 2017 dengan Madrid menang 4-1.

Musim lalu dia turut meledak dua gol apabila Madrid menang 3-1 di Stadium Allianz pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Turin termasuk diberikan penghormatan penonton tuan rumah yang berdiri susulan sepakan gunting yang dilakukannya.

 

Dia kemudiannya menjaringkan gol penalti masa tambahan di Bernabeu untuk menamatkan kebangkitan Juventus selepas ketinggalan tiga gol.

“Dia akan membawa kami ke tahap seterusnya dan untuk Juventus, kami sudah mempunyai skuad yang kuat,” katanya.

“Objektif kami adalah hadir ke Madrid, menang liga, piala dan Liga Juara-Juara. Ia sentiasa menjadi matlamat Juventus.” -AFP

Kim Swee dah jangka UAE akan cetuskan pergaduhan

Perlawanan persahabatan antara pasukan Bawah 23 (B-23) tahun negara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam di sini malam ini dicemari insiden pergaduhan melibatkan pemain kedua-dua pasukan serta pegawai UAE.

Insiden berlaku di tengah padang pada penghujung perlawanan ketika Malaysia mendahului 2-0 dan bermula apabila beberapa pemain serta pegawai UAE bertindak menyerang pemain kebangsaan, dipercayai berpunca daripada beberapa kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan sebelum itu.

 

Pergaduhan itu berjaya dikawal oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian

Mengulas insiden itu pada sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih B-23 negara Datuk Ong Kim Swee berkata pergaduhan tersebut sememangnya dapat dijangka kerana menjadi kebiasaan pasukan UAE atau mana-mana pasukan dari Timur Tengah melakukan provokasi terhadap pasukan lawan apabila mereka ketinggalan.

“UAE merupakan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi daripada kita, mereka tidak biasa ketinggalan, keadaan ini, provokasi sememangnya saya sudah jangka,” katanya.

Beliau berkata insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada pemain negara dan berharap kejadian serupa tidak berulang pada Sukan Asia 2018 di Indonesia yang bermula pertengahan bulan ini.

 

“Pemain perlu lebih pandai mengawal emosi mereka bila berhadapan dengan provokasi daripada pihak lawan, jika insiden ini berlaku semasa di Sukan Asia nanti ia akan merugikan kita,” katanya.

Pada Sukan Asia nanti anak buah Kim Swee diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan manakala UAE pula dalam Kumpulan C dengan China, Timor Leste dan Syria.

Pada perlawanan malam ini Malaysia mengatasi UAE 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-64.

Kelantan mangsa kedua MIFA

PETALING JAYA: MIFA mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan 2-0 dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Selepas kejayaan mengejutkan gergasi bola sepak negara yang juga pasukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) Ahad lalu, anak buah K Devan terus ‘berselera’ dan kali ini skuad kendalian Yusri Che Lah menjadi mangsa kedua mereka.

MIFA yang beraksi dalam saingan Liga Perdana, terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang dari Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-25.

Tersentak dengan gol tuan rumah itu, pelawat cuba bangkit dengan melakukan beberapa gerakan serangan melalui penyerang, Cristiano Santos dan Mohammad Imran Samso yang bertindak licik memecah benteng MIFA, namun percubaan mereka tetap gagal menewaskan penjaga gol Mohd Muhaimin Mohamad.

Pelawat terus tertekan pada babak kedua apabila MIFA berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi percubaan J Satrunan pada minit ke-74 sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 itu kekal hingga wisel penamat.

Hasil kejayaan tiga mata itu, MIFA kini di tangga pertama dengan enam mata penuh, manakala JDT pula di tempat kedua dengan tiga mata selepas membelasah Kedah 5-1 di Larkin.

Selepas ini MIFA dijadualkan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, sementara Kelantan akan menanti kunjungan JDT di Kota Bharu dengan kedua-dua aksi pada hujung minggu depan.