United, City dan PSG minat ‘ubi’ Malaysia

KUALA LUMPUR: Prestasi cemerlang yang diperagakan barisan pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 tahun (B-14) pada kejohanan di Jerman dan Belanda menyaksikan mereka menjadi ‘buruan’ banyak akademi terkemuka yang berpengkalan di Eropah.

Hakikat itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar yang menjelaskan pihaknya menerima banyak permintaan daripada kelab ternama di Eropah yang mahukan produk NFDP itu supaya menjalani latihan bersama mereka.

“Kebanyakan maklumbalas yang kami terima dari pihak pemantau bakat dan juga penganjur di Eropah adalah mereka menyatakan pelatih AMD sememangnya berada dalam kelas yang tersendiri.

“Ini bermakna sekiranya pelatih kita adalah warganegara Kesatuan Eropah (EU), mereka semuanya akan mendapat tempat dalam akademi utama di Eropah.

“Kini kita sedang dalam proses menilai setiap tawaran dan menyelaraskan komitmen pembelajaran dengan pihak sekolah. Ia sesuatu yang agak rumit tetapi wajib dilakukan dan kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, beberapa akademi yang menunjukkan minat yang serius terhadap ‘ubi’ Malaysia antaranya adalah Manchester United, Manchester City dan juga Paris Saint Germain (PSG).

Selepas mengungguli saingan Whitsun B-14 di Dortmund, Jerman minggu lalu, skuad AMD B-14 terus memperagakan taring di Eropah apabila menjuarai Kejohanan B-14 Vogido di Enschede, Belanda yang berakhir, kelmarin.

Skuad yang dibimbing Osmera Omaro itu juga mencipta sejarah apabila muncul pasukan pertama dari Asia menjuarai kejohanan yang turut disertai Basel, Bayer Leverkusen, KRC Genk dan juga Vitesse.

Pada perlawanan akhir, AMD B-14 meraih kemenangan 1-0 menerusi jaringan tunggal Mohd Khairil ke atas wakil Belgium, KRC Genk yang pernah melahirkan pemain bola sepak ternama seperti Kevin de Bruyne, Thibaut Courtois dan juga Christian Benteke.

Lebih membanggakan, penjaga gol AMD, Zulhilmi Sharani dinobat sebagai penjaga gol terbaik dan Muhd Nabil Qayyum dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan sekali gus mengulangi pencapaian sama yang dilakar olehnya pada Kejohanan Whitsun B-14 di Dortmund.

“Sorry” Harimau Malaya, Wan Kuzain ditakdirkan milik Uncle Sam

Sejak daripada kecil, bakat serta kerjaya Wan Kuzain Wan Kamal dipantau penuh hemat oleh peminat bola sepak tanah air.

Hemat bertukar keterujaan apabila Wan Kuzain merekodkan penampilan di Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) bersama Kansas City.

Keterujaan itu menjadi keghairahan susulan perkembangannya meledakkan jaringan sulung di negara itu selepas hanya dua aksi.

Wah, Wan Kuzain, bintang dalam pembikinan yang akan menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi.

Hakikatnya berupaya terbit kekecewaan kerana faktor menghampirkan Wan Kuzain dan Malaysia ada darah dan keturunan sahaja.

Lahir dan membesar di Chicago, pastinya dia “lebih” Amerika berbanding Malaysia.

Loghat tak payah cakap la “brother”.

Malah, jika dia terus mempamerkan aksi cemerlang, tidak mustahil dia akan memikat tumpuan pengurusan USMNT atau skuad kebangsaan Amerika Syarikat.

Logiknya, USMNT berbanding Malaysia lebih berupaya untuk layak ke Piala Dunia, impian setiap pemain bola sepak.

Mungkin juga Wan Kuzaian akan ke Piala Dunia terlebih dahulu sebelum Harimau Malaysa mencapai aspirasi ini.

Maaf Malaysia, lebih kuat jodoh Wan Kuzain dan USMNT berbanding Harimau Malaya.

Kelantan Berbelanja Sakan Perkuat Pasukan

Walaupun dilanda pelbagai masalah dan juga konflik, pasukan Kelantan giat berbelanja sakan bagi memperkukuhkan lagi pasukan untuk mengharungi baki saingan musim 2018. Baru-baru ini, Kelantan telah membawa masuk empat pemain import baru.

Pengurusan pasukan membawa masuk pemain tengah Kyrgyztan, Bakhytiar Duyshobekov, pemain pertahanan Singapura, Madhu Mohana, pemain sayap dari Namibia, Lazarus Kaimbi dan penyerang dari Brazil, Cristiano Santos.

Selain membawa masuk pemain import baru, Kelantan telah menamatkan khidmat pemain pertahanan, Alaeddine Bouslimi yang ditandatangani terlebih dahulu. Bouslimi dilepaskan setelah dikatakan tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Setakat ini, hanya dua pemain import yang sudah mengikuti sesi latihan bersama pasukan. Dua pemain tersebut ialah Lazarus Kaimbi dan Bakhytiar Duyshobekov. Dua lagi pemain import masih lagi menunggu pengesahan pendaftaran.

Kehadiran empat pemain import ini diharapkan dapat memberi nafas baru kepada pasukan Kelantan yang ketika ini berada di tangga terorot Liga Super. Mereka kini berada tiga mata dibelakang pasukan Negeri Sembilan yang menduduki tangga ke-11.

Setelah menandatangani pemain import baru, pasukan Kelantan mendapat berita yang kurang menyenangkan apabila ketua jurulatih mereka, Fajr Ibrahim meletak jawatan. Akan tetapi, cara Fajr yang meletak jawatan dianggap tidak profesional dan sedikit mencuit hati.


Kelakar kan ?

Setelah Fajr meletak jawatan buat kali kedua, tugas sebagai ketua jurulatih akan digalas oleh pembantu jurulatih iaitu Yusri Che Lah. Ini merupakan kali kedua Yusri mengendalikan pasukan Kelantan musim ini.

Walau apa pun, berkemungkinan besar kita akan melihat kelibat pemain import baru membarisi kesebelasan utama pasukan Kelantan apabila mereka menentang pasukan Kedah hari ini. Kami menjangkakan Kaimbi dan Duyshobekov akan diturunkan memandangkan mereka telah menjalani latihan bersama pasukan hari ini.
sumber:- penulis Inikan Bola
Apa pendapat anda mengenai keputusan pasukan Kelantan untuk berbelanja sakan dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia kali ini ?

Adakah keputusan ini adalah keputusan yang tepat untuk menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan ?

Raja Muda Selangor berkenan terima tawaran

SHAH ALAM – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Tengku Amir bertitah FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan yang menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan arena bola sepak negeri Selangor.

“Baginda menyeru rakyat untuk menyokong penuh pembaharuan yang akan dilakukan baginda apabila menerajui FAS.

“Baginda yakin pasukan kesayangan rakyat negeri Selangor ini akan dapat mencapai kegemilangan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Oleh yang demikian, Mohamad Munir berkata, Tengku Amir menekankan bahawa ketika ini bukannya masa untuk mengadu domba atau pun mencari kesalahan lampau.

“Baginda sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi dan fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta pasukan bola sepak negeri Selangor terus mara ke hadapan,” katanya. – K! ONLINE 

Misteri kehilangan Fajer akhirnya terjawab

PETALING JAYA: Misteri kehilangan ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim akhirnya terjawab pagi Selasa.

Menerusi surat yang dituju kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan, Fajer memaklumkan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai pengendali pasukan itu.

Dalam surat itu, Fajer turut mendedahkan punca beliau mahu meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW).

Pengendali kelahiran Syria itu berkata keputusan tersebut dibuat kerana tugasnya yang sukar, selain kekurangan kemudahan untuk sesi latihan pemain.

“Susulan tugas yang sukar dan kekurangan kemudahan untuk latihan, saya ingin meletak jawatan.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Kelantan,” katanya dalam surat tersebut.

 

Bibi ketika dihubungi mStar Online mengesahkan menerima surat tersebut yang dihantar Fajer menerusi WhatsApp.

“Dia hantar surat itu menerusi WhatsApp pagi ini,” katanya.

Jelas usahawan batik itu, tugas Fajer telah diambil alih pembantunya Yusri Che Lah berkuatkuasa pada Isnin.

sumber:- mstar

“Kita sudah kesuntukan masa. Jadi segala tugas Fajer akan diambil alih Yusri Che Lah,” katanya.

 

Punca Zidane letak jawatan didedah

KEPUTUSAN Zinedine Zidane meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid pada minggu lalu amat mengejutkan ramai pihak.Terbaharu The Sun melaporkan, punca peletakan jawatan Zidane adalah kerana dia bertengkar dengan Presiden Real, Florentino Perez berhubung polisi perpindahan Eden Hazard dan David de Gea.

Selepas memacu Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara kali ketiga dengan menundukkan Liverpool 3-1 pada aksi final 27 Mei lalu, Zidane tiba-tiba membuat keputusan angkat kaki.

Perez mengakui keputusan Zidane sesuatu yang tidak dijangka manakala pengendali kelahiran Perancis itu enggan mendedahkan punca dia meletak jawatan.

The Sun mendakwa Zidane dan Perez bertengkar pada petang sebelum bekas legenda Perancis itu mengumumkan peletakan jawatannya.

Menurut laporan itu, Zidane meminta Perez supaya membawa masuk Hazard tetapi Perez enggan mengikut kehendaknya.

Malah Perez turut memaklumkan kepada Zidane bahawa beliau mahu mendapatkan khidmat De Gea.

Namun Zidane lebih berminat untuk mengekalkan Keylor Navas.

Zidane akhirnya menamatkan pertengkaran itu dengan berkata kepada Perez:”Saya sudah selesai. Anda ambil tugas jaga pasukan.”

Madrid masih belum melantik pengurus baharu dan dijangka mahu mendapatkan khidmat pengurus Hoffenheim, Julian Nagelsmann.

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino turut dalam senarai pendek meskipun pengendali berusia 46 tahun itu baharu sahaja menandatangani kontrak selama lima tahun dengan Spurs.

 

Mane setuju syarat sertai Real Madrid

SADIO Mane mencapai persetujuan untuk menyertai Real Madrid dari Liverpool, menurut laporan di Perancis.Pemain berusia 26 tahun itu memainkan peranan penting untuk memantapkan jentera serangan Jurgen Klopp bergandingan dengan Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Mane menjaringkan 20 gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara musim ini.

Menurut laporan France Football, Mane semakin hampir untuk menyertai Real Madrid selepas bersetuju dengan tawaran kelab gergasi Sepanyol itu.

Namun perpindahan bintang Senegal itu ke Santiago Bernabeu mulai samar susulan peletakan jawatan Zinedine Zidane minggu lalu.

Mane sepatutnya menjadi pemain pertama dibawa masuk ke Bernabeu pada musim panas ini tetapi keputusan Zidane meletak jawatan merumitkan lagi perpindahan itu.

France Football melaporkan Zidane memainkan peranan besar dalam keputusan Madrid untuk membawa masuk Mane.

Namun perpindahan itu terpaksa ditangguhkan sehingga pengurus baharu dilantik.

Laporan itu turut mendakwa Madrid masih belum mencapai kata sepakat berhubung yuran perpindahan dengan Liverpool.

 

Kini keputusan untuk memuktamadkan rundingan dengan Liverpool bagi merealisasikan perpindahan Mane terletak di tangan pengurus baharu Real.

 

Karius alami konkusi ketika final

LOS ANGELES: Penjaga gol Liverpool Loris Karius mengalami konkusi sebelum kesilapan yang memberikan Real Madrid mahkota Liga Juara-Juara bulan lalu, kata dua doktor di Boston yang memeriksa pemain itu.

Kenyataan daripada Ross Zafonte dan Lenore Herget mendedahkan, Karius menjalani pemeriksaan di Hospital Massachusetts pada 31 Mei, lima hari selepas kekalahan 3-1 Liverpool kepada Madrid di Kiev.

“Selepas meneliti rakaman perlawanan dan dibandingkan dengan sejarah … pemeriksaan fizikal dan objektif matriks, kami membuat kesimpulan yang Karius mengalami konkusi ketika perlawanan pada 26 Mei 2018,” kata kenyataan oleh Zafonte dan Herget.

Karius pada minit ke-49 mengadu kepada pengadil yang dia disiku oleh pertahanan Real Madrid Sergio Ramos tetapi tiada tindakan dikenakan.

Dua minit kemudian Karius melakukan kesilapan memalukan apabila balingan kepada pertahanan Liverpool dipintas oleh Karim Benzema untuk gol pembukaan aksi final itu.

 

Karius juga dipersalahkan untuk gol ketiga Real yang dijaringkan Gareth Bale dan ia melengkapkan malam yang cukup mengecewakan buat penjaga gol Jerman itu.

Menurut Zafonte dan Herget, ada kemungkinan konkusi berkenaan memberi impak terhadap persembahan Karius. – AFP

Wan Kuzain cipta sejarah saingan MLS

KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Wan Kuzain Wan Kamal mencipta sejarah sebagai anak Malaysia pertama menjaringkan gol di Major League Soccer (MLS) selepas membantu pasukannya Kansas City menewaskan Minnesota United, 4-1, di sini, semalam.

Selepas membuat penampilan sulung dalam aksi terdahulu menentang Columbus Crew SC, Kuzain memastikan perlawanan keduanya ini berakhir dengan penuh bergaya.

Dia hanya memerlukan tempoh 17 minit selepas masuk menggantikan Yohan Croizet pada minit ke-18 untuk meledak gol sulung profesionalnya.

Gol itu terhasil dalam keadaan kelam-kabut di kawasan kotak penalti selepas Kuzain bijak menyempurnakan hantaran silang rendah sebelah kanan Graham Zusi menerusi penyudah kaki kiri untuk pasukannya kembali mendahului 2-1.

Tiga lagi gol Kansas City yang mengekalkan rekod tanpa kalah kelima berturut-turut disumbangkan Daniel Salloi, Cristian Lobato dan Diego Rubio.

“(Ia perasaan) lebih hebat (berbanding kali pertama menandatangani kontrak bersama Kansas City) dan sukar untuk digambarkan,” kata Kuzain selepas perlawanan.

“Ia amat bermakna dan semoga lebih banyak kejayaan mampu dicapai selepas ini.”

Wan Kuzain turut mengakui tidak pasti bahawa percubaannya itu berakhir dengan gol.

“Saya membuat sentuhan yang baik dan Peter (Vermes) memberitahu kata ianya gol. Jadi saya mendengarnya menjerit apabila gol,” katanya.