Kerajaan umum barang bebas SST

PUTRAJAYA – Perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa 1 September depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, antara contoh-contoh bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah seperti simen, pasir dan besi.

Katanya, dengan pengecualian itu, kerajaan mengharapkan kos pembinaan akan menjadi lebih rendah susulan daripada pengecualian cukai SST ke atas bahan-bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan.

“Dengan cadangan pengecualian barang-barang tersebut daripada dikenakan SST dan kaedah implementasi cukai SST yang lebih baik berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST), pihak pemaju dan pembeli harus mendapat faedah daripada pengurangan beban cukai ini,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng menjelaskan SST hanya akan merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding 60 peratus mengikut Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, dengan melaksanakan SST yang telah ditambah baik kerajaan dapat ‘mengembalikan’ jumlah kutipan cukai kira-kira RM23 bilion kepada rakyat sekali gus mengurangkan beban kewangan khususnya mereka yang terkesan berikutan kos sara hidup tinggi.

Mengulas lanjut katanya, di bawah rejim GST, bahan-bahan asas seperti batu-bata, simen, pasir dan lain-lain bahan pembinaan dikenakan GST pada kadar enam peratus di samping perkhidmatan pembinaan yang turut dikenakan GST pada kadar serupa.

“Ini telah mengakibatkan kos pembinaan meningkat di bawah era GST, termasuk kenaikan harga rumah.

“Tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial dijangka akan diringankan dengan pemansuhan GST dan pengecualian cukai SST,” katanya.

sumber:sh

Guan Eng juga sebelum ini menjelaskan SST yang akan dilaksanakan 1 September nanti tidak membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, jumlah kutipan daripada SST hanya dianggarkan bernilai RM21 bilion setahun, manakala anggaran kutipan GST bernilai RM44 bilion bagi tahun 2018, berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu.

Saya cuma membantu, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata kemunculannya di Sungai Kandis semasa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini dibuat dengan niat yang baik, iaitu memenangkan calon BN.

Kata bekas perdana menteri itu, Datuk Lokman Noor Adam meminta bantuannya untuk berkempen di kawasan tersebut ketika BN berdepan dengan cabaran getir merampas kerusi dewan undangan negeri itu daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi presiden Umno lagi.

“Kepimpinan baru Umno perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk membuktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam ini.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas bekas menteri yang juga calon naib presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tidak bersetuju Najib dibawa berkempen di PRK Sungai Kandis.

Kata Johari Umno kini berdepan dengan persepsi masyarakat yang menolak parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.

“Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi Umno mengetengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?” katanya.

Yakin tak bersalah

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata mustahil Umno dapat bangkit daripada kekalahannya jika parti itu terus mengimbau masa lalu dan membenarkan Najib terlibat dalam hal ehwal pertubuhan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Khaled berkata sudah tiba masanya Umno menyedari bahawa Najib sebenarnya sedang dibicarakan dan bukannya Umno.

“Kita bukan lagi kerajaan dan kita tidak lagi mempunyai keistimewaan untuk berkata dengan yakin bahawa masih ada orang Melayu di belakang kita,” katanya.

Untuk rekod Khaled dan Johari adalah segelintir pemimpin Umno yang bersikap lebih kritikal membicarakan tentang kepimpinan Umno.

Kata Najib Lokman dan pasukannya telah melakukan yang terbaik bagi memenangi PRK Sungai Kandis.

Najib yang kini dibicarakan atas tujuh tuduhan jenayah berkata Umno tidak perlu mempertahankannya.

Melalui perbicaraan yang adil, kata Najib, beliau yakin dapat mempertahankan diri di mahkamah.

“Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya,” katanya.

Seakan mahu mengingatkan orang ramai, Najib berkata beliau kini masih memegang jawatan ketua bahagian serta anggota parlimen mewakili Umno.

“Saya juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu.

“Oleh itu, saya akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini.

sumber:- MK

“Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri saya jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan BN lalu,” katanya.

Kami gembira bawa Equanimity ke Malaysia – Kapten

PELABUHAN KLANG: Kapten dan 17 kru kapal mewah ‘Equanimity’ menzahirkan kelegaan dan gembira dapat membawa kapal itu ke Malaysia.

Kapten kapal warga Norway, Oystein Senneseth, berkata keadaan mereka kini lebih tenang berbanding tiga minggu lalu.

“Sebelum ini, situasi agak membimbangkan kerana dianggap perkara baharu kepada kami, termasuk melihat anggota polis yang bersenjata. Kini, kami sudah terbiasa dengan keadaan itu dan gembira berada di negara ini.

“Kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia amat membantu kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Boustead Cruise Centre di sini, petang tadi.

Oystein berkata, dia dan semua kru kapal kini bebas untuk bergerak tanpa sebarang sekatan.

“Kami tidak hanya berada di dalam kapal dan bebas untuk pergi ke mana-mana,” katanya.

Beliau berkata, 17 kru kapal itu merangkumi pelbagai warga negara dan bukan hanya warga Norway.

Tinjauan NSTP hari ini mendapati kapal Equanimity berharga RM1 bilion yang didakwa milik ahli perniagaan Low Teak Jho atau Jho Low itu kekal berada di jeti Boustead Cruise Centre selepas berlabuh pada jam 1 tengah hari semalam.

Difahamkan, satu mesyuarat termasuk membabitkan peguam mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan Malaysia juga diadakan hari ini, di jeti sama.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menyerahkan kapal itu kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika kunjungannya ke negara berkenaan, pada Jun lalu.

Pada Februari lalu, kapal itu dirampas dan disita pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bagi membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan 1MDB.

Mahkamah Indonesia bagaimanapun memutuskan tindakan menyita adalah salah dan harus diserahkan pada Jho Low, namun ia sekali lagi disita atas permintaan rasmi Amerika Syarikat, awal Julai lalu.

1MDB adalah tumpuan kepada siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura. Sejumlah kira-kira AS$4.5 bilion didakwa diselewengkan.

Berdasarkan saman sivil itu, Jho Low menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk memperoleh Equanimity, kapal sepanjang 91 meter (m) yang berdaftar di Cayman Islands.

sumber:- BH

Dalaman kapal itu dikatakan dihiasi daun emas dan marmar, spa, dan sauna, kolam renang 20 meter di dek, panggung wayang, lif dan helipad manakala lokasi sebenar Jho Low sehingga kini masih tidak dapat dipastikan.

Fenomena guruh panjang, kilat melintang : “Bertaubatlah!” – PU Amin

TULAR di media sosial apabila fenomena alam luar biasa berlaku di beberapa kawasan sekitar Cyberjaya dan Puchong lewat petang semalam.

Menurut perkongsian netizen di Internet, berlaku guruh dengan bunyi seakan-akan kereta api berat dalam tempoh lebih kurang seminit di kawasan-kawasan terbabit.

Malah, ada yang sempat menyaksikan cetusan kilat dalam formasi melintang selepas suasana senja dengan matahari jingga terang waktu yang sama semalam.

Mengulas mengenai kejadian tu dalam sudut agama, pendakwah selebriti PU Amin menyampaikan pesanan dan ingatan buat semua.

“Apa yang berlaku semalam satu petanda. Begitulah situasi yang akan dihadapi manusia, bila matahari pula terbit di bahagian barat.

“Ketika itu pintu taubat sudah tertutup, manusia pula tidak berasa mahu meminta ampun. Mereka tertipu dengan kesenangan dan keseronokan hidup.

“Ada pula manusia yang langsung tidak mengendahkan fenomena matahari terbit di bahagian barat, padahal itu adalah tanda kiamat besar bakal berlaku.

“Mereka hanya ambil kamera dan simpan gambar gambar menarik matahari bila terbit di bahagian barat.

“Dua tiga hari ni Allah SWT tunjukkan sesuatu, kiamat berlaku dengan cara yang diberitahu.

“Allah bagi teaser dulu. Masa nak kiamat nanti, langit gelap, matahari hilang cahaya, asap keluar dari perut bumi, gempa bumi dan hancur kesemuanya sekali.

“Bertaubatlah. Aku dan kamu,” tulisnya menerusi entri di Facebook

Sementara itu, di media sosial pula ramai yang mula berkongsi fenomena alam petang semalam dalam sudut pandangan tersendiri

“Sekurang-kurangnya aku tak curang dengan laki” – Ifa Raziah

FOTO yang menampilkan aksi penerbit dan pelakon Datuk Boy Iman memeluk penyanyi Ifa Raziah yang dimuat naik di laman Instagram Boy Iman mengundang kecaman netizen.

Rata-rata mereka mempertikaikan tindakan Boy Iman dan Ifa tidak menjaga sensiviti sebagai penganut agama Islam yang mengharamkan sentuhan bukan mahram.

Namun, Ifa, 43, mempersoalkan drama atau filem yang mempunyai babak berpelukan dan bersentuhan namun masih dianggap boleh dilakukan sebab hanya lakonan.

“Dok berlakon dalam drama dan filem tu ada juga babak berpeluk, bercium, berpegang tangan.

 

Status yang dimuat naik Ifa menerusi laman Instastory miliknya.

“Kadang-kadang tu sampai terlajak beromen pun ada selagi ruang dan peluang itu tak apa dibolehkan sebab berlakon saja walaupun bukan mahram.

“Walaupun bukan ada perasaan hawa nafsu tu halal ke?” tulis Ifa menerusi laman Instastory miliknya.

Penyanyi lagu Terus Terang ini juga berang dengan komen netizen yang mengatakan dia seperti berlaku curang dengan suaminya.

Menurut Ifa, suaminya iaitu Mohd Yani Abdul Rahman mengenali diri sebenarnya lebih daripada orang lain.

 

Ifa tidak kisah jika ada pihak yang tidak menyukainya.

“Sekurang-kurangnya aku tak curang dengan laki (suami) aku! Atau ‘main’ (mempunayi hubungan) dengan jantan lain atau bercinta dengan jantan lain.

“Hello suami aku pun kenal siapa aku sebenarnya baik dan buruk aku,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa sudah tidak kisah sekiranya ada pihak yang tidak menyukainya kerana beranggapan perkara itu tidak penting lagi.

“Akan sampai satu tahap, ia sudah tidak penting lagi. Anda suka saya ke, tak suka ke, ada aku kisah?

sumber:- mstar

“Nak suka alhamdulillah. Tak suka pun tak ada hal la. Tak semua orang suka kita dan kita pun tak perlu suka semua orang!” ujarnya.

 

Tarik diri Sukan Asia-Syed Saddiq jumpa Kim Swee, Exco Sukan

BANGI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bertemu semua Exco sukan negeri untuk berbincang mengenai kesukaran mengumpulkan pemain skuad bola sepak bawah 23 (B-23) bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang Ogos ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beliau tidak dapat memberikan reaksi segera berhubung masalah itu sehingga bertemu dengan jurulatih skuad B-23 Malaysia, Datuk Ong Kim Sweee serta semua Exco sukan negeri bagi mendapatkan gambaran menyeluruh isu berkenaan.

“Kita dalam proses nak jumpa semua Exco sukan negeri dan Ong Kim Swee duduk cari penyelesaian bersama.

 

“(Membuat) tindakan segera tanpa kita berdialog dengan mereka kesannya jauh lebih buruk sebab itu amat penting kita duduk berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Belia Mahir Kali Ke-5 Majlis Belia Malaysia (MBM) Bersempena Sambutan 7 Dekad MBM di Bangi Avenue Convention Centre di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KBS Datuk Lokman Hakim Ali dan Presiden MBM, Mua’ammar Ghadafi Jamal.

 

Syed Saddiq mengulas laporan media hari ini yang menyebut Kim Swee mungkin terpaksa mengambil tindakan drastik menarik diri daripada temasya di Jakarta-Palembang itu susulan kesukaran mengumpulkan pemain.

Kim Swee dipetik berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras tidak mahu melepaskan pemain mereka memandangkan Sukan Asia pada 18 Ogos hingga 2 September ini bertembung dengan Piala Malaysia.

sumber:bh

“Kena faham, apabila saya menyenaraikan 24 pemain untuk dipanggil (dan) enam pemain dalam senarai sedia ada, hanya daripada 30 pemain ini yang saya boleh panggil.

“Mengikut peraturan minimum 18 pemain dibenarkan untuk ke Sukan Asia. Jika kita tidak dapat mengumpulkan jumlah ini, bermakna kita perlu tarik diri daripada kejohanan (acara bola sepak) Sukan Asia,” katanya.

Waytha kecewa penghinaan penampilan rakan baiknya pada majlis angkat sumpah

KUALA LUMPUR: Senator P. Waytha Moorthy yang baru dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) kecewa dengan penghinaan bersifat peribadi di laman sosial terhadap tetamunya.Penghinaan tersebut dibuat oleh netizen ke atas sami Hindu yang menemaninya ke Parlimen pada Selasa.

Waytha menyifatkan Arunachalanandaji sebagai bukan warganegara India yang menetap di negara berkenaan dihormati kerana dedikasinya kepada agama Hindu dan merupakan seorang sahabat rapat serta dianggap seperti saudara.

Arunachalanandaji mengorbankan kehidupannya untuk mempromosikan keamanan sejagat dan keharmonian kaum.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/07/18/waytha-kecewa/~/media/aa59d34c3d484ca18262dd9b77e059e2.ashx?h=465&la=en&w=620

Arunachalanandaji (bulatan merah) dijemput oleh Waytha untuk menyaksikan beliau angkat sumpah sebagai senator.

Beberapa portal berita turut melaporkan mengenai mesej yang tular tentang misteri gambar lelaki berambut panjang dan berjambang tebal.

Arunachalanandaji berada di Parlimen bagi menyaksikan Waytha dan empat yang lain mengangkat sumpah sebagai senator.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Waytha berkata, beliau menjemput Arunachalanandaji kerana menghormati sami tersebut.

sumber:- mstar

“Saya fikir memandangkan dia menggunakan 30 tahun daripada kehidupannya untuk keamananan sejagat, ia adalah satu penghormatan untuk menjemputnya pada majlis angkat sumpah saya,” kata Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu.

 

Malaysia muccul Juara dengan penuh Dramatik

Malaysia menebus kekecewaan tewas 2-0 di tangan Thailand dalam aksi final edisi tahun lalu, apabila menewaskan Myanmar 4-3 di pentas akhir Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun di Gelora Delta Sidoarjo, sebentar tadi.

Setelah menyingkirkan tuan rumah, Indonesia, ketika saingan separuh akhir, Malaysia turun dengan semangat membara dan membuka tirai jaringan seawal minit keempat perlawanan selepas Awang Muhammad Faiz melepaskan rembatan lencong yang gagal diselamatkan penjaga gol, Zin Nyi Nyi.

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Shahiran Nik Mat, menambah kelebihan skuad kebangsaan pada minit ke-19 selepas melepaskan rembatan leret dari dalam kotak penalti untuk sekali lagi membuatkan Nyi Nyi tertewas.

Bagaimanapun, kesilapan ketika melakukan hantaran pendek menghukum skuad bimbingan Bojan Hodak itu apabila Win Naing Tun mencuri bola sebelum mudah mengatasi halangan Muhammad Azri Abdul Ghani untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-24.

Dua minit kemudian, Myanmar sekali lagi menghukum kealpaan benteng Malaysia, kali ini hasil sumbangan kapten pasukan, Myat Kaung Khant, selepas tenang mengutip bola lambungan Naing Tun dari sebelah kiri, sebelum pemain berusia 17 tahun itu melakukan sepakan sudut yang terus menerjah jaring gol pada minit ke-31.

Gol penyamaan yang dicari-cari Malaysia akhirnya menjelma ketika permainan berbaki 15 minit.

Sepakan sudut yang diraih anak-anak buah Hodak dari sebelah kanan menyebabkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti dan Shivan Pillay Asokan mengambil kesempatan untuk terus melepaskan rembatan dari jarak dekat, menjadikan kedudukan 3-3.

Myanmar berpeluang untuk menjadikan kedudukan 4-3 pada minit ke-88 tetapi rayuan sepakan penalti tidak diendahkan pengadil perlawanan walaupun Hein Htet Aung mendakwa dia dijatuhkan oleh Shivan.

Gol kemenangan akhirnya menjelma buat anak-anak buah Hodak ketika aksi memasuki waktu kecederaan apabila sepakan percuma Nik Akif gagal diselamatkan oleh Nyi Nyi, sekaligus memberikan status juara yang pertama buat Malaysia dengan kemenangan dramatik 4-3 selepas lima kali gagal di pentas akhir.

Jho Low mungkin ‘ubah wajahnya’

Ahli Perniagaan Low Taek Jho (di atas) mungkin telah menjalani pembedahan rekonstruksi muka dan menggunakan identiti baru untuk mengelakkan ditangkap selepas kapal layar mewahnya, Equanimity, dirampas awal tahun ini.

Ini, menurut The Star yang memetik sumber sebagai mendakwa bahawa polis dan imigresen jabatan imigresen di Malaysia dan Singapura percaya Low mungkin menjalani pembedahan rekonstruksi muka.

“Kami percaya dia mungkin mengubah ciri-cirinya dan telah mengguna nama lain,” kata sumber tersebut.

Pihak berkuasa juga dilaporkan percaya bahawa jutawan kelahiran Pulau Pinang, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, telah menggunakan “perkhidmatan butler bawah tanah” yang khusus untuk VIP dan selebriti untuk membantu beliau melepasi pintu masuk imigresen.

“Ini menjelaskan mengapa walaupun Notis Merah dikeluarkan oleh Interpol, Low telah melakukan perjalanan ke dan dari beberapa negara Asia Tenggara tanpa masalah,” kata sumber itu lagi.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa di kedua-dua Malaysia dan Singapura tidak memiliki gambar terkini Low dan telah membuat permintaan untuk imejnya dirakam di pusat pemeriksaan imigresen, untuk memberi mereka imej yang lebih jelas mengenai Low.

“Kebanyakan gambar yang ada dipercayai telah dirakam tiga atau empat tahun lalu,” kata sumber yang menyatakan bahawa sejak Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia pada bulan Mac, Low dilihat di Phuket, Macau, Hong Kong, Taiwan dan Shanghai.

Sumber itu menambah: “Walaupun Notis Merah (dari Interpol), ahli perniagaan yang dikehendaki itu berjaya menghindari pihak berkuasa.”

‘Dari wajah tembam hingga bujur, berbentuk berlian’

The Star juga memetik seorang pakar bedah plastik yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang berkata dengan wang yang Low ada, pembedahan untuk mengubah penampilannya akan menjadi perubahan kecil untuknya.

“Untuk menukar wajah bulat tembab kepada bujur atau berbentuk berlian akan dikenakan biaya antara AS$10,000 (kira-kira RM40,000) dan AS$20,000 (RM80,000).

“Tempoh pemulihan adalah kira-kira dua minggu, tetapi pesakit akan menghadapi wajah yang bengkak selama sebulan,” kata pakar bedah plastik tersebut.

Sebaliknya, doktor berkata pembedahan kecil lain untuk mengubah kelopak mata dan bentuk hidung dan mulut juga boleh dilakukan dalam masa beberapa jam sahaja.

Selain dari perubahan fizikal, laporan itu juga memetik seorang pakar keselamatan berpejabat di Bangkok lain yang menspekulasi bahawa Low juga boleh menggunakan perkhidmatan butler lapangan terbang untuk mengelakkan dikesan.

“Penumpang sedemikian biasanya dibawa terus ke lounge peribadi yang dikendalikan oleh pengendali jet swasta sebaik sahaja mereka mendarat.

“Dokumen mereka diserahkan kepada juruterbang atau pengawal pengendali di darat. Mereka akan mnguruskannya dengan pegawai imigresen,” katanya sambil menambah bahawa Low mungkin telah mengelakkan pemeriksaan langsung oleh pegawai Imigresen.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada hari Rabu mengesahkan bahawa Low telah meninggalkan Macau ke destinasi yang tidak diketahui.

Menurut Fuzi, polis menerima emel dari rakan sejawatan mereka di Macau dua hari yang lalu, yang menyatakan bahawa ahli perniagaan yang berkaitan dengan skandal 1MDB itu telah meninggalkan wilayah autonomi.

Pada hari Selasa, Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali mendedahkan bahawa Low dipercayai menggunakan pasport dari negara lain selepas pasport Malaysianya dibatalkan bulan lepas.

sumber:- MK

Pasport Low telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan SPRM berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

Akhirnya Marcote tinggalkan Kedah

PETALING JAYA: Ramon Marcote akhirnya secara rasmi meninggalkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada Isnin.

Pada April lalu, warga Sepanyol itu diberi tugas sebagai jurulath pembangunan bola sepak KFA selepas hampir empat bulan menguruskan skuad utama Lang Merah.

“Seperti yang anda tahu, hari ini 9 Julai 2018 adalah penerbangan terakhir dari Alor Setar untuk kembali ke Sepanyol.

“KFA dan saya telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan hubungan kerjasama ini. Ia merupakan satu penghargaan, penghormatan buat saya dalam mempertahan warna-warna Kedah buat kali kedua.

“Saya bertanggungjawab untuk mengucapkan terima kasih kepada Ginney (Puan Sri Ginney Chew) dan ECK di atas kepercayaan dan sokongan berterusan sepanjang masa (hubungan persabahatan ini tidak akan diruntuhkan oleh sesiapa).

“Juga terima kasih kepada semua penyokong Kedah di atas kebaikan dan hubungan rapat yang sentiasa melayan saya dengan baik sejak hari pertama tiba di Kedah,” jelas Marcote di status Instagramnya pada Isnin.

 

Marcote diketepikan daripada tugas utamanya bersama skuad Kedah selepas aksi tidak konsisten ketika itu yang berada di tangga ketujuh Liga Super selepas lima perlawanan dengan mengumpul enam mata. Mereka mencatat dua kemenangan dan tiga tewas.

Manakala pembantunya, Mohd Nidzam Adzha Yusof kembali mengemudi tugas utamanya itu.

Sebagai rekod Marcote tiba di Kedah buat kali kedua selepas 2016, apabila menjadi pilihan utama mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih skuad Hijau Kuning musim ini.

Lebih menarik, pemilihannya untuk kembali ke Alor Setar adalah disebabkan penyokong-penyokong yang sentiasa menagih sentuhan bola sepak moden daripadanya.

sumber:- mstar

Sebelum ini Marcote pernah bersama Kedah sebagai pembantu jurulatih kepada Tan Cheng Hoe.