Kerajaan umum barang bebas SST

PUTRAJAYA – Perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa 1 September depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, antara contoh-contoh bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah seperti simen, pasir dan besi.

Katanya, dengan pengecualian itu, kerajaan mengharapkan kos pembinaan akan menjadi lebih rendah susulan daripada pengecualian cukai SST ke atas bahan-bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan.

“Dengan cadangan pengecualian barang-barang tersebut daripada dikenakan SST dan kaedah implementasi cukai SST yang lebih baik berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST), pihak pemaju dan pembeli harus mendapat faedah daripada pengurangan beban cukai ini,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng menjelaskan SST hanya akan merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding 60 peratus mengikut Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, dengan melaksanakan SST yang telah ditambah baik kerajaan dapat ‘mengembalikan’ jumlah kutipan cukai kira-kira RM23 bilion kepada rakyat sekali gus mengurangkan beban kewangan khususnya mereka yang terkesan berikutan kos sara hidup tinggi.

Mengulas lanjut katanya, di bawah rejim GST, bahan-bahan asas seperti batu-bata, simen, pasir dan lain-lain bahan pembinaan dikenakan GST pada kadar enam peratus di samping perkhidmatan pembinaan yang turut dikenakan GST pada kadar serupa.

“Ini telah mengakibatkan kos pembinaan meningkat di bawah era GST, termasuk kenaikan harga rumah.

“Tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial dijangka akan diringankan dengan pemansuhan GST dan pengecualian cukai SST,” katanya.

sumber:sh

Guan Eng juga sebelum ini menjelaskan SST yang akan dilaksanakan 1 September nanti tidak membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, jumlah kutipan daripada SST hanya dianggarkan bernilai RM21 bilion setahun, manakala anggaran kutipan GST bernilai RM44 bilion bagi tahun 2018, berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *