Salah masih berbisa

LIVERPOOL 12 Ogos – Perbelanjaan besar ketika jendela perpindahan pemain telah menampakkan hasil lumayan apabila Liverpool mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas West Ham United dalam perlawanan pertama mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Ketika musim perpindahan pemain, The Reds mencatat pasukan paling tertinggi berbelanja dengan jumlah sebanyak 182.2 juta Euro (RM849.65 juta).

Pengurus pasukan, Jurgen Klopp membariskan skuad terbaik di Stadium Anfield dalam usaha mencari tiga mata pertama di laman sendiri.

Percaturannya membuahkan hasil apabila tonggak penyerangnya, Mohamed Salah meledak gol pertama seawal minit ke-19 selepas bijak menyudahkan hantaran menarik Andy Robertson dari sebelah kanan gawang pelawat.

 

Giliran bintang Senegal, Sadio Mane menggandakan jaringan buat tuan rumah pada minit terakhir babak pertama apabila mudah menampan bola ke dalam jaring hasil hantaran lintang James Milner.

Bersambung babak kedua, jentera serangan Liverpool terus bernafsu memburu gol dan hasilnya Mane sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila melepaskan rembatan dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Lukasz Fabianski pada minit ke-53.

 

Penyerang England, Daniel Sturridge melengkapkan malam gemilang tuan rumah apabila menampan bola ke gawang selepas menerima hantaran menerusi sepakan penjuru di sebelah kanan pasukan pelawat.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool memulakan kempen Liga Perdana dengan merampas kedudukan teratas liga daripada Chelsea yang sebelum ini meraih kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town. -AGENSI

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *