“Saya akan buat kenyataan rasmi” – Kata DJ Dave selepas foto mahu salam Tun M tersebar

Datuk DJ Dave

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk DJ Dave memilih untuk mengunci mulut berhubung foto tular yang memaparkan dirinya cuba bersalaman dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dj Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, 70, sebelum ini dilihat secara terbuka menyokong kepimpinan Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, lagu klasik Kawan Setia dendangannya turut dirakamkan semula dan digunakan sebagai lagu kempen Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Gambar ini menjadi tular apabila kelihatan DJ Dave (bulatan merah) mahu bersalaman dengan Tun Mahathir (bulatan hijau).

“Saya tak nak jawab lagi mengenai isu ini. Saya akan keluarkan kenyataan rasmi saya mengenai foto yang menjadi perhatian ramai itu.

“Sila tunggu penjelasan saya dalam masa terdekat,” ujarnya kepada mStar Online.

Dia ditemui sewaktu majlis sumbangan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) di Hotel Seri Pacific, pada Selasa.

DJ Dave

Foto berkenaan mula tular dan menjadi bahan perdebatan netizen di laman sosial yang mempersoalkan pendirian politik penyanyi itu yang dilihat cuba beralih arah selepas kekalahan teruk Barisan Nasional.

Disebabkan perkara itu, ada yang menggelarkan Dj Dave sebagai lalang kerana bertukar angin setelah BN tewas pada PRU14 Rabu lalu.

Sementara itu dalam majlis yang sama, seramai 15 artis veteran berusia 60 tahun ke atas menerima sumbangan berjumlah RM2,000 seorang bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri pada bulan hadapan.

Mereka terdiri daripada Mubarak Ali, Ismail Jantan, Raja Mohamad Rashid Raja Salehudin, Khairul Azhar Abdul Samad, Noraziyan Ibrahim@Yan Ibrahim dan Hashimah Hashim.

Turut menerima sumbangan ialah Mastura Ismail, Abdul Rashid Jaafar, Muhaini Suratman, Mohd Supyan Abd Rahman, Halimah Naim, Michael A/L Thomas, Anthonyammah A/P A Mookan, Gunasegaran A/L R Nagamuthu dan Lord Lokman.

Menurut DJ Dave yang juga pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), sumbangan berkenaan juga dianggap sebagai token penghargaan atas jasa mereka dalam bidang seni selama ini.

“Sumbangan dalam bentuk kewangan tu sekurang-kurangnya boleh membantu mereka untuk membeli keperluan raya dan puasa.

DJ Dave (tujuh dari kiri) bersama mereka yang terlibat dalam majlis sumbangan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) di Hotel Seri Pacific, pada Selasa.

“Tapi ia juga lebih kepada untuk menghargai jasa mereka selama ini. Kita simpati dengan nasib mereka yang kurang bernasib baik, sebab itu sumbangan ini diwujudkan.

Tambah DJ Dave, pihaknya di YA1M komited untuk terus membantu golongan artis veteran yang tidak bernasib baik dan berharap agar lebih banyak sumbangan dapat disalurkan pada masa hadapan.

SUMBER- Mstar.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *